top of page

5 Sebab Anak Malas Menunaikan Solat

Writer's picture: HasnulHasnul


Kita pastinya bimbang apabila anak-anak kita culas atau malas solat. Setiap kali masuk waktu solat, ibu bapa perlu suruh atau marah mereka dahulu barulah mereka solat.


Kenapa susah sangat untuk anak-anak kita mengerjakan solat?


Mereka sudah diajar. Mereka sudah tahu yang solat tidak boleh ditinggalkan setelah usia baligh. Kita sebagai ibu bapa pun terus menerus ingatkan mereka agar tidak mengabaikan solat. Namun mengapa mereka masih malas?




Mari kita kenalpasti 5 sebab utama kenapa anak-anak malas solat.


1. Tiada motivasi daripada ibu bapa

Ibu bapa adalah insan terdekat dengan anak sejak dilahirkan. Oleh itu ibu bapalah sebagai model terbaik kepada anak-anak untuk memulakan sesuatu perkara.


Ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama.


2. Tiada bi'ah (suasana) yang menggalakkan

Ikhtiarkan supaya dapat bersolat secara berjemaah bersama-sama sekurang-kurangnya satu waktu sehari. Boleh juga membawa anak-anak ke surau atau masjid bermula dari mereka masih kecil supaya mereka terbiasa dengan suasana beribadah. Pupuk rasa cintakan pada masjid dan majlis-majlis ilmu disana.


Jika berjemaah dirumah, selepas solat, zikir dan doa, ambillah masa lima minit untuk berikan tazkirah pendek pada anak-anak tentang agamanya. Ingatkan mereka tentang kewajipan solat dan ancaman dosa. Nyatakan harapan anda supaya mereka menjaga solat, secara lemah lembut dan berhikmah.


3. Tidak nampak kepentingan solat

Fahamkan anak-anak, solat adalah amalan yang pertama sekali diperiksa di akhirat. Jika ia baik dan sempurna, maka baiklah amalan-amalan yang lain.


Sebaliknya jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain. Sabda Rasulullah yang bermaksud, "Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba pada hari Kiamat daripada amalannya ialah solat.


Sekiranya solatnya baik, maka dia akan Berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi." (Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa'i dan Ibnu Majah)


4. Tidak faham cara solat yang betul

Kebanyakan anak-anak hanya tahu tentang solat yang diajar di sekolah dari sudut ilmu sahaja. Mereka sekadar tahu perkara-perkara rukun, cara dan bacaan dalam solat sahaja. Namun mereka tidak memahami cara solat secara pratikalnya.


Kesannya anak-anak bukan sahaja malas atau culas mengerjakan solat. Malah mereka akan berasa terseksa jika disuruh solat.


Jadinya, mereka tunaikan solat itupun bukan dengan hati yang rela dan bersedia menghadap diri kepada Tuhannya. Mungkin cuma sekadar ingin mengambil hati ibu bapa sahaja.


5. Ibu bapa sendiri malas solat!

Ada antara ibu bapa apabila terlalu sibuk, turut sama meninggalkan atau menangguhkan solat. Alasannya, solat boleh diqada.


Bagaimana ibu bapa hendak menyuruh anak-anak rajin solat sekiranya mereka sendiri malas dan berat untuk solat. Benarlah firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu amatlah berat, kecuali kepada orang yang khusyuk." (Al-Baqarah 2: 45)


Usaha mengajar dan cara mendidik anak solat bermula dari kecil. Tempoh umur 1-10 tahun ialah masa yang kritikal. Pada usia kecil, kita kena terapkan betapa pentingnya solat dalam diri anak kita. Juga, tambahbaik kualiti solat kita dan anak-anak setiap hari.


Sama-sama kita jadikan solat sebagai sebagai keutamaan dalam hidup kita.


Brainy Bunch; The Leader in Personalized Learning Experience

Islamic | Montessori | English

"Success In Both Worlds"

1,397 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page